Komuniti Perniagaan Asean Perlu Manfaatkan AEC – Tony Fernandes

1 December, 2014
As appeared in Berita RTM

Kuala Lumpur – Komuniti perniagaan Asean perlu memanfaatkan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) dan bersedia secukupnya untuk memaksimumkan potensi yang ditawarkannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group dan Pengerusi Forum Kelab Perniagaan Asean (ABC) 2014, Tan Sri Tony Fernandes perniagaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan AEC berlaku dan tidak perlu menunggu petunjuk daripada kerajaan mereka.

“Tetapi pemikiran perlu berubah. Perniagaan dan kerajaan perlu melangkaui sempadan negara dan berkembang ke peringkat serantau,” katanya dalam ucapan pembukaannya pada pelancaran Laporan Menghapuskan Halangan 2014.

Menurutnya , institusi Asean perlu mengenal pasti kekuatan mereka dan memanfaatkannya untuk mengembangkan lagi komuniti Asean.

Malaysia, sebagai contoh, telah menambahkan usaha dalam pasaran pelancongan dan melalui penerbangan tambang rendah AirAsia, telah menjadikan perjalanan lebih murah (untuk perniagaan dan percutian) di rantau Asean dan seterusnya.

Pengerusi CIMB Group dan Pengerusi Bersama ABC Malaysia, Datuk Seri Nazir Razak berkata Malaysia perlu mengambil kesempatan terhadap jawatan pengerusi Asean yang akan diadakan pada tahun 2015, untuk memperkemaskan segala usaha sebelum penubuhan AEC.

Beliau juga berharap kerajaan akan menangani isu-isu untuk membantu perniagaan dengan segera.