Harga bahan api pesawat rendah, dorong tambang rendah – Fernandes
1 December, 2014
As appeared in The Yahoo News
KUALA LUMPUR: Harga bahan api pesawat yang ketika ini pada AS$85 (RM284) setong, bukan hanya akan mengurangkan kos operasi syarikat penerbangan, tetapi turut membantu mereka menurunkan kadar tambang untuk mewujudkan lebih banyak permintaan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata beliau percaya kos operasi kumpulan akan turun agak mendadak, dan sangat yakin terhadap prestasi keuntungan yang kukuh daripada AirAsia X pada tahun depan.
“Kos kami akan turun, sebahagiannya akan dipindahkan kepada pelanggan. Oleh itu, ini adalah masa yang sangat sesuai untuk berada dalam industri penerbangan dan memacu pertumbuhan pendapatan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian di luar pelancaran ‘Laporan Menghapuskan Halangan (LTB)’, anjuran Kelab Perniagaan ASEAN (ABC) di sini.
Laporan LTB adalah usaha bersama Institut Penyelidikan ASEAN CIMB dan ABC untuk mengenal pasti halangan bagi sektor keutamaan perdagangan bebas dalam konteks Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Terdahulu, Fernandes berkata beliau menjangka industri penerbangan negara positif pada tahun depan, berikutan perkara paling besar selain harga minyak ialah penstrukturan semula Penerbangan Malaysia (MAS).
Beliau yang juga Pengerusi Forum Kelab Perniagaan ASEAN 2014, yakin Khazanah Nasional Bhd memberi tumpuan untuk memastikan syarikat penerbangan itu mencatat keuntungan.
“Jika Malaysia Airlines (MAS) diuruskan dengan cara yang betul, maka saya menjangkakan sektor penerbangan yang sihat,” katanya.
Fernandes berkata MAS, AirAsia dan AirAsia X baik untuk ekonomi, terutama Malaysia Airport Holdings Bhd, penyelenggaraan, pembaikan dan rombakan perniagaan serta sektor pelancongan.
“Tahun depan adalah peluang terbaik bagi Malaysia untuk mengambil peluang dalam menjadikan Kuala Lumpur, sebagai (hab) perjalanan kos rendah Asia,” katanya. – BERNAMA